Jate Kijang : Pelindung Hutan Gua Musang By Kirin Nor Zaidi



JATE KIJANG : PELINDUNG HUTAN GUA MUSANG

Hutan Gua Musang masih basah oleh embun pagi, udara sejuk menyelimuti setiap sudut alam. Cahaya matahari yang baru sahaja menembusi celah-celah daun pokok besar, memancarkan sinar keemasan yang menyinari bumi. Awang terduduk di atas batu licin yang basah, matanya merenung jauh ke dalam kehijauan yang kian menghilang. Dia, seorang lelaki lumpuh yang sering dianggap "gila" oleh penduduk kampung, sedang berbual-bual dengan seekor burung hantu yang bertenggek di dahan pokok berhampiran.

"Kau tahu tak, burung, kalau kerajaan ni macam kaki aku. Lumpuh. Tapi bezanya, kaki aku lumpuh sebab nasib. Tapi kerajaan? Lumpuh sebab pilihan sendiri. Diorang pilih untuk tak bergerak, untuk tak berubah," Awang berkata sambil ketawa kecil, tapi ada sedikit kesedihan dalam suaranya.

Burung hantu itu hanya memandangnya dengan mata bulat, seolah-olah tidak faham tapi tetap mendengar.

Tiba-tiba, Pak Mat, seorang lelaki Temiar yang berusia sekitar 50-an, muncul dari balik semak. Dia memakai kain sarung yang sudah lusuh dan membawa bakul penuh dengan hasil hutan seperti petai dan jering. Pak Mat adalah pemungut hasil hutan yang mahir, dan dia sering berkongsi cerita dengan Awang.

"Awang, kau ni asyik bercakap sorang-sorang dengan burung. Kau tak takut orang kata kau gila ke?" tanya Pak Mat sambil duduk di sebelah Awang.

"Gila? Ha! Pak Mat, kalau gila itu maksudnya aku sedar yang aku lumpuh, tapi masih boleh ketawa, maka aku bangga jadi gila. Kau tengoklah, kerajaan tu ada kaki, ada tangan, ada segala-gala, tapi diorang lumpuh juga. Lumpuh untuk berubah, lumpuh untuk bantu orang macam aku. Kau rasa siapa yang lebih teruk? Aku yang lumpuh fizikal, atau diorang yang lumpuh hati?" Awang menjawab dengan nada sinis, sambil matanya berkelip-kelip seperti sedang mengejek.

Pak Mat tergelak kecil. "Kau ni memang lain, Awang. Tapi kau ada betul juga. Kerajaan selalu cakap nak bantu orang Asli, tapi bila kami nak tanah hak kami, diorang buat pekak. Bila kami nak hidup aman, diorang hantar syarikat gali tanah kami."

"Betul tu, Pak Mat. Kau tahu tak, aku pernah dengar ada menteri cakap, 'Kami nak majukan kawasan ini.' Tapi apa yang dimajukan? Pokok-pokok ditebang, sungai dicemari, dan yang kaya hanya orang-orang di bandar. Kau rasa itu kemajuan? Aku rasa itu kemusnahan!" Awang berkata dengan nada semakin lantang, seolah-olah sedang berucap di hadapan khalayak ramai.

Pak Mat mengangguk, tapi kemudian dia bertanya, "Tapi Awang, kau ni selalu cakap pasal kerajaan, tapi kau sendiri buat apa? Kau asyik duduk kat sini je."

Awang tersenyum lebar. "Aku? Aku ni macam hutan, Pak Mat. Aku tak perlu buat apa-apa untuk buktikan nilai aku. Aku cuma duduk sini, dan biar orang lain yang nak faham, fahamlah. Kalau tak faham, itu masalah diorang. Aku ni cuma 'penjaga' cerita. Cerita tentang betapa gilanya dunia ni."

Pak Mat tergelak lagi. "Kau ni memang pelik, tapi aku suka dengar kau bercakap. Kadang-kadang, aku rasa kau ni lebih waras daripada orang yang duduk di Putrajaya tu."

"Waraskah? Aku rasa aku ni lebih sesuai jadi menteri. Bayangkan, menteri hutan. Tapi bukan menteri yang jaga hutan, tapi menteri yang jadi hutan. Aku akan duduk diam, biar orang datang pada aku, dan kalau ada yang nak tebang aku, aku akan tumbuh balik. Macam pokok lah!" Awang berkata sambil ketawa terbahak-bahak.

Pak Mat turut ketawa, tapi tiba-tiba dia terdengar suara Mak Anum memanggilnya. "Awang, Pak Mat balik dulu.. kan mengamuk pula Mak Anum tu" kata Pak Mat.

Awang  hanya tersengih dan memerhati Pak Mat yang bergegas mencari Mak Anum. Kemudiannya, Awang kembali duduk merenung jauh ke dalam hutan. Dia tahu bahawa dunia ini mungkin tidak akan berubah, tapi sekurang-kurangnya, dia telah memberikan sedikit kegilaan yang bermakna kepada mereka yang mendengarnya.

Pada suatu malam yang gelap, jeritan sayup-sayup memecah kesunyian hutan. Awang, yang sedang mengesot dengan penuh kesakitan ingin menuju ke batu yang selalu dia duduk, terhenti sejenak. Dadanya berdegup kencang, peluhnya bercucuran seperti air terjun kecil. "Alamak, suara apa ni? Hantu ke? Orang kena rompak ke? Aku ni dah lumpuh, nak lari pun tak boleh. Kalau ada penjahat, aku cuma boleh jadi speed bump je!" keluhnya sambil memandang sekeliling dengan mata yang liar.

Dengan susah payah, dia mengesot ke arah sumber suara itu. Setelah beberapa minit yang terasa seperti berjam-jam, dia tiba di satu kawasan lapang. Di sana, di bawah sinar bulan purnama yang terang benderang, seekor kijang putih terperangkap dalam jerat besi yang berkilauan. Kijang itu merenungnya dengan mata yang redup, seolah-olah merayu meminta pertolongan.

"Lepaskan aku, manusia…" suara itu bergema di dalam kepala Awang. Dia terkejut, hampir terlentang ke belakang. "Eh, eh, siapa ni cakap? Kijang ke ‘call center’ ke? Kalau kau nak promosi data murah, aku boleh pertimbangkan. Tapi kalau kau nak suruh aku bayar bil telefon yang aku tak guna, sori la bro, aku takde duit. Aku ni dah lumpuh, duit pun lumpuh! Pastu kat hutan ni mana ada line telefon.." Awang mengusik sambil menggaru kepalanya.

Kijang itu menggelengkan kepalanya, matanya masih memancarkan kesedihan. "Aku penjaga hutan ini. Aku Kijang Putih, yang telah diburu oleh manusia tamak. Jika kau menolongku, aku akan memberikanmu sesuatu yang lebih berharga daripada emas."

Awang mengerutkan dahi. "Lebih berharga dari emas? Kalau kau kata lebih mahal dari minyak masak, aku mungkin boleh percaya. Tapi emas? Kau jangan tipu aku lah, aku ni dah lumpuh, takde masa nak layan tipu-tipu ni. Lagipun, kalau kau bagi aku emas, aku pun tak boleh pergi mana-mana nak beli apa-apa. Aku cuma boleh jadi patung emas yang lumpuh!"

Kijang Putih menghela nafas panjang. "Aku tidak menipu. Jika kau melepaskanku, aku akan memberimu kekuatan untuk berjalan semula."

Awang terdiam sejenak, matanya berkelip-kelip. "Kau cakap serius ke? Kau nak bagi aku boleh jalan balik? Tapi kalau kau tipu, aku akan cari kau sampai ke hujung dunia, walaupun aku kena mengesot! Tapi sebelum tu, kau kena bayar kos fisioterapi aku dulu!"

Dengan segala tenaga yang tersisa, Awang mula membuka jerat besi itu. Tangannya yang lemah menggigil, tapi dia terus berusaha. "Alamak, jerat ni kenapa susah sangat nak buka? Kau ni kijang putih, kenapa tak pakai jerat yang canggih sikit? Ni tak, macam jerat untuk kijang biasa je! Kau ni kijang istimewa, tapi jerat kau macam jerat pasar malam!" keluhnya sambil terus berusaha.

Akhirnya, jerat itu terbuka. Kijang Putih melompat bebas, dan sebutir cahaya hijau melayang keluar dari tubuhnya, menyelubungi Awang. Tiba-tiba, tubuhnya yang lumpuh terasa ringan, dan dalam sekelip mata, dia berdiri tegak. Dia menggerakkan kakinya, melompat-lompat seperti anak kecil yang baru belajar berjalan. "Wah! Aku boleh jalan! Aku boleh lari! Aku boleh joget! Tapi aku takde lagu, jadi aku joget dalam diam je lah!" jeritnya gembira.

Kijang Putih tersenyum lembut. "Mulai sekarang, kau adalah pelindung hutan ini."

Awang mengerutkan dahi lagi. "Pelindung? Boleh tak aku jadi macam Keluang Man tu? Gempak sikit.. Kalau aku jadi pelindung hutan ini, nanti kena ada nama gempak-gempak, kalau tak, macam tak cool langsung. Lagipun, aku ni dah cukup menderita dengan keadaan aku yang lumpuh ni!"

Kijang Putih menggelengkan kepalanya, tapi matanya berkelip-kelip dengan humor. "Kau ini manusia yang pelik. Tapi baiklah, jika kau mahu, kau boleh jadi macam Keluang Man. Tapi ingat, tanggungjawabmu tetap sama."

Awang tersenyum lebar. "Ha, itu baru betul! Keluang Man, pelindung hutan! Eh, tak boleh, Astro Shaw dah bedal... Emmm... Kau Kijang.. Jadi "Jate Kijang" jelah! Baru Anak Jati Kelantan.. Tapi sebelum aku mulakan tugas berat ni, boleh tak kau bagi aku satu lagi kekuatan? Macam boleh terbang ke, atau punya kuasa super lain? Aku ni dah lama jadi manusia lumpuh, jadi aku nak rasa macam superhero sikit!"

Kijang Putih ketawa kecil. "Kau ini terlalu banyak mintak. Tapi baiklah, aku akan berikan kau satu lagi hadiah – kebijaksanaan untuk memahami bahasa haiwan."

Awang terkejut. "Wah, serius ke? Jadi aku boleh cakap dengan monyet, burung, dan semua binatang lain? Macam Doctor Dolittle lah ni! Tapi kalau monyet tu cakap pasal politik, aku tak nak layan. Aku ni dah cukup stress jadi manusia, tak nak stress jadi binatang pula!"

Kijang Putih mengangguk. "Tapi ingat, kebijaksanaan itu datang dengan tanggungjawab. Kau mesti menggunakan kekuatanmu untuk melindungi hutan ini."

Awang mengangguk bersungguh-sungguh. "Baiklah, aku janji. Tapi sebelum kau pergi, boleh tak kau beritahu aku satu lagi perkara?"

"Apa lagi?" tanya Kijang Putih dengan sabar.

"Kau ni sebenarnya kijang putih ke hantu kijang? Sebab tadi kau cakap dalam kepala aku, macam hantu je! Kalau kau hantu, tolong jangan muncul tengah malam, nanti aku takut, terus lumpuh balik!"

Kijang Putih tersenyum misteri sebelum lenyap dalam kabus, meninggalkan Awang sendirian di tengah hutan. Awang menggelengkan kepalanya. "Alamak, kijang pun pandai buat magik sekarang. Tapi takpe, aku dah boleh jalan, dah boleh lari, dan dah boleh cakap dengan binatang. Hidup aku dah tak lumpuh lagi!"

Dengan semangat yang membara, Awang melompat-lompat gembira, sambil berjanji untuk melindungi hutan itu dengan sepenuh hatinya. Dia mungkin seorang yang suka bercakap sesuatu yang pelik-pelik, tapi dia pasti akan menjadi pelindung yang terbaik untuk hutan itu. "Kalau ada penjahat datang, aku akan luku kepala dia! Tapi kalau dia bawa senjata, aku mungkin akan lari dulu. Aku ni baru belajar jadi superhero, so ijazah pun takde lagi ni!"

Awang, yang baru sahaja boleh berjalan, berjalan terhuyung-hayang pulang ke rumahnya. Hutan pada malam itu sunyi sepi, cuma bunyi cengkerik dan desiran angin yang menyapu daun-daun kering. Tiba-tiba, dia terdengar suara halus seperti anak kecil menangis. Awang berhenti, menggaru kepala, dan berpaling ke arah bunyi itu.

“Hoi, siapa tu? Pelarian ke? Jangan nak tipu aku, aku ni pandai tau!” teriak Awang sambil mencangkung, matanya menyepet. Di balik pokok tumbang di hadapannya, muncul seekor anak kijang dengan bulu putih bersih yang sama seperti Kijang putih tadi. Matanya besar, berkaca-kaca, dan penuh dengan ekspresi yang membuat Awang terasa sedikit bersalah.

“Eh, kau ni kenapa? Lapar ke? Aku pun lapar. Jadi, kita serupa lah,” kata Awang sambil menggaru perutnya yang berbunyi.

Anak kijang itu menggeselkan kepalanya ke tangan Awang. Awang menarik tangan dengan pantas.

“Eh, jangan ambil kesempatan! Aku bukan sugar daddy kijang tau! Aku ni miskin, gaji pun tiada!”

Anak kijang itu mengeluarkan suara kecil, seperti ketawa. Awang tersenyum sendiri, merasa dirinya lucu walaupun sebenarnya dia hanya bercakap dengan seekor kijang.

“Baiklah, aku panggil kau Belanga. Sebab... errr... aku lapar, dan aku teringat gulai dalam belanga kat rumah tadi. Sedap tu! Kau setuju tak?”

Belanga hanya menundukkan kepala, dalam hatinya berkata, “Apa lagi aku boleh buat? Kau dah bagi nama aku macam periuk.”

Sejak malam itu, Awang dan Belanga menjadi sahabat baik. Mereka merayau ke hutan bersama-sama. Tapi, ada satu perkara yang Awang tak tahu—Belanga bukanlah kijang biasa. Dia adalah cucu kepada Kijang Putih, yang dipanggil 'Tok Puteh' oleh Belanga.

Suatu malam, di tengah hutan yang gelap gelita, Belanga tiba-tiba berhenti dan memandang Awang dengan serius. Cahaya bulan menyinari bulu putihnya, membuatkan dia kelihatan seperti makhluk mistik.

“Awang, aku nak ajar kau sesuatu,” kata Belanga dengan suara yang tiba-tiba menjadi berat dan berwibawa, seperti suara seorang guru silat.

“Baiklah, apa yang kau nak ajar aku? Aku harap bukan cara makan rumput, sebab aku tak minat.” balas Awang.

Belanga menghela nafas. “Aku nak ajar kau guna kuasa kijang yang diberikan oleh Tok Puteh.”

“Tok Puteh? Siapa tu? Nenek kau ke?” tanya Awang, sambil menggaru kepala.

“Tok Puteh adalah Kijang Putih, makhluk suci yang menjaga hutan ini. Dan aku ini adalah cucunya” jelas Belanga.

“Oh, keturunan samalah ni ya? Tapi, apasal kau ni ketot?” usik Awang.

Belanga menggelengkan kepala, seperti sudah menyerah dengan kerenah Awang. “Dengar baik-baik. Kuasa kijang ni tanggungjawab dia sangat besar. Tanpa panduan, kau akan tenggelam binasa.”

“Bila nak start latihan? aku tak sabar dah ni.” kata Awang sambil tersenyum lebar.

Belanga mengeluh. “Baiklah, mari kita mulakan latihan pertama: lari pantas.”

Awang berdiri, bersedia. “Okay, aku dah sedia!”

Selepas itu, sesi perlatihan mereka pun bermula.

Setelah beberapa minggu berlatih, Awang dan Belanga meneruskan pengembaraan mereka di hutan rimba. Hutan itu penuh dengan misteri—pokok-pokok besar yang menjulang tinggi, akar-akar yang berserabut seperti ular raksasa, dan bunyi-bunyi aneh yang membuatkan Awang sentiasa berasa gelisah.

“Belanga, kau dengar tak bunyi tu? Macam ada orang ketawa,” bisik Awang sambil memandang ke sekeliling.

“Itu cuma burung hantu yang ketawakan kau.” jawab Belanga sambil menggelengkan kepala.

“Aku bukan penakut, aku cuma... berhati-hati. Kau tak tahu, hutan ni penuh dengan bahaya. Ada ular, harimau, dan... dan orang gila macam aku!” kata Awang sambil ketawa kecil.

Belanga tersenyum. “Jangan risau, dengan kuasa kijang, kau akan selamat. Tapi kau kena fokus. Sekarang, mari kita cuba latihan lompat tinggi.”

Awang mengangguk, tapi matanya masih liar memerhatikan sekeliling. “Baiklah, tapi kalau aku terjatuh, kau kena tangkap aku tau.”

Belanga mengangguk. “Janji.”

Dengan kebolehan kuasa kijang, Awang melompat tinggi, hampir menyentuh dahan pokok yang tinggi. Tapi, dia tak sempat mendarat dengan sempurna dan terjatuh ke dalam semak berduri.

“Aduh! Kenapa aku selalu jadi mangsa latihan kau ni?!” jerit Awang sambil mencabut duri dari badannya.

“Itu semua sebahagian daripada proses. Kau kena kuat, baru boleh jadi pelindung hutan ni” kata Belanga dengan nada yang tenang.

Awang mengeluh. “Aku ni dah macam watak sampingan dalam cerita kau je. Tapi tak apalah, aku teruskan juga.”

Belanga ketawa. “Baiklah, sekarang fokus dulu.”

Dan dengan itu, pengembaraan Awang dan Belanga di hutan rimba terus berlanjutan, dengan latihan kuasa kijang yang membuatkan mereka berdua makin akrab. Hutan rimba menjadi saksi kepada persahabatan mereka, dan juga tempat di mana Awang belajar menjadi lebih daripada sekadar manusia biasa.

Setelah mendapat kekuatan, dia kini menjadi sang pembela hutan yang semakin hilang pertalian dengan realiti. Dia juga lebih banyak menghabiskan masa di hutan. Awang juga telah membuat kostum khas yang menggunakan barang daripada hasil-hasil hutan.

"Ini kostum paling hebat di dunia!" kata Awang sambil memandang pantulannya di air sungai yang keruh.

Kostumnya terdiri daripada:

  • Topeng: Dibuat daripada daun kering yang diikat dengan tali rotan, dengan tanduk kecil yang diukir daripada kayu keras sebagai simbol kijang.

  • Baju: Dibuat daripada kulit kayu yang dijahit dengan akar-akar pokok, memberikan perlindungan seperti perisai semula jadi.

  • Seluar: Dibuat daripada bulu burung dan serat tumbuhan, memberikan kelenturan dan kehangatan. 

  • Tali pinggang: Diperbuat daripada rotan, dengan poket kecil untuk menyimpan biji-biji tumbuhan yang boleh digunakan sebagai senjata.

Suatu petang, Awang tiba-tiba muncul di tengah kampung dengan kostumnya.

Pak Din: "Awang, kau ni dah jadi apa sebenarnya? Kau ni nak jadi pahlawan ke nak jadi kijang betul-betul?"

Awang: "Aku ni Pahlawan Kijang, Pak Din! Aku ni macam Robin Hood, tapi aku tak rompak orang kaya. Aku rompak pokok dari pemaju! Kalau kerajaan boleh bagi permit tebang hutan, aku pun bagi permit tanam balik!"

Mak Limah: "Tapi, Awang, kau ni dah makin tak waras. Kau asyik cakap sorang-sorang, ketawa tak tentu pasal. Kau dah lupa kau ni manusia ke kijang?"

Awang: "Mak Limah, dalam dunia ni, siapa yang lebih waras? Aku yang jaga hutan, atau kerajaan yang jual hutan? Aku ni mungkin gila, tapi gila aku ada tujuan. Gila kerajaan tu gila duit, takde matlamat!"

Anak kecil: "Awang, kenapa kau pakai baju kulit kayu? Tak panas ke?"

Awang: "Panas? Tak panas pun. Lagi sejuk daripada duduk dalam parlimen yang asyik gaduh tak tentu pasal. Aku ni pakai baju kulit kayu, tapi hati aku tak berkarat macam besi buruk!"

Awang semakin hilang pertalian dengan realiti. Dia mula memperkenalkan dirinya sebagai "Jate Kijang" dan menggelarkan hutan sebagai "Markas Besar Alam Semesta".

Suatu hari, dia mengumpulkan penduduk kampung untuk "latihan perang" mempertahankan hutan. Dia memakai topengnya dan berdiri di atas batu besar, berucap seperti seorang jeneral yang baru pulang dari medan perang.

Awang: "Saudara-saudara sekalian! Hari ini, kita akan latihan mempertahankan hutan kita! Musuh kita bukan komunis, bukan penjajah, tapi pemaju dan kerajaan yang asyik bagi permit tebang! Siapa sanggup jadi askar alam bersama aku?"

Penduduk kampung: Diam seribu bahasa, ada yang geleng-geleng kepala.

Awang: "Takpe, takpe! Kalau korang tak nak jadi askar, aku jadi askar sorang-sorang!

Pada suatu malam, Awang ternampak seekor kijang betul-betul di tengah hutan. Dia pun mendekati kijang itu dan mula berbual.

Awang: "Eh, kijang! Kau ni kijang betul ke kijang palsu macam aku?"

Kijang: Mengangkat kepala, memandang Awang dengan mata yang penuh persoalan.

Awang: "Ah, kau tak cakap apa-apa. Macam menteri lah kau ni. Bila ditanya soalah susah, diam je. Tapi takpe, aku faham. Kau ni mungkin kijang yang dihantar oleh kerajaan untuk memata-matai aku, kan?"

Kijang: *Menggeleng-geleng kepala dan terus berlari pergi.*

Awang: "Ha! Aku dah tahu! Kau lari sebab malu! Malu sebab hutan kau dah semakin kecik! Takpe, aku jaga hutan ni untuk kau. Aku ni Jate Kijang, pembela alam semesta!"

---

Hutan Gua Musang yang dahulunya tenang kini bergema dengan bunyi gergaji mesin. Pohon-pohon berusia ratusan tahun tumbang satu demi satu, diganti oleh lorong-lorong tanah merah seperti luka menganga. Zuhri, seorang tauke pembalakan haram, datang dengan trak-trak besar dan pekerjanya yang merobek hasil hutan tanpa belas kasihan. Namun dalam kerakusan Zuhri dalam melakukan kegiatan harammya itu, beliau takut dengan roh-roh dan juga penunggu hutan tersebut.

Malam pertamanya di sini, dia terdengar bunyi ketawa aneh dari dalam hutan. Pekerjanya melaporkan ada yang ternampak bayangan berlari pantas seperti kijang... tapi bukan kijang biasa. Mendengar tentang perkara tersebut, Zuhri telah menghantar orang-orangnya untuk mencari dukun yang terhandal di kawasan tersebut. Tidak lama kemudian, datanglah Usin yang dibawa oleh orang-orang Zuhri berjumpa dengan Zuhri di khemah miliknya.

"Bos.. Ni kami bawakan pawang padu untuk bos." ujar salah seorang pekerjanya.
"Aku boleh 'setel' bab-bab makhluk halus yang ganggu kerja-kerja kau... tapi aku nak bayaran yang tinggi.." celah Usin.
"Baik.. berapa kau nak, aku boleh bagi.. Tapi, pastikan kau jaga tempat ni agar selamat untuk aku jalankan pekerjaan aku." kata Zuhri dengan nada yang gembira.

Semenjak daripada itu, Usin telah menjaga Zuhri dalam melakukan kerja-kerja pembalakannya. Masyarakat orang asli Temiar mula terkesan dengan keadaan tersebut kerana hasil hutan yang selama ini menjadi sumber pencarian mereka mula hilang. 

Awang berdiri di tengah hutan yang semakin sunyi. Di sekelilingnya, batang-batang pokok yang ditebang berselerak seperti mayat di medan perang. Kulit kayunya yang retak mengering, seperti luka yang tidak dirawat. Dia berlutut, menyentuh sebatang pokok meranti tua yang baru sahaja tumbang.

"Sabar ye?" bisik Awang, mengusap batang pokok itu. Tidak lama kemudian, dari belakang, Pak Mat mendekat dan berkata "Awang... kau okay ke?". Awang dengan nada sedih berkata "Okay? Aku tengah bercakap dengan pokok ni. Dia cerita pasal Zuhri. Kata... sakit sangat waktu gergaji potong dia.".

Pak Mat menggeleng, tapi dia tidak ketawa. "Awang, jom balik... mak kau dari tadi cari kau.. aku pun sedih jugak dan tak tahan nampak hutan kita jadi macam ni." kata Pak Mat.

"Tapi Awang... Kita boleh buat apa, Awang? Kita ni orang kecil je..." sambung Pak Mat.

"Kita orang kecil, tapi kita bukan bodoh. Zuhri tu besar sebab kita diam. Tapi diam terlalu lama, nanti jadi macam pokok yang dah mati—takda suara langsung." balas Awang dengan nada yang geram.

Tiba-tiba, terdengar bunyi gergaji mesin dari jauh.

"Dengar tu, Pak Mat. Bunyi tu..." sambung Awang dengan nada yang sedih bercampur baur dengan perasaannya yang geram.

Awang kemudiannya mengambil segenggam tanah, lalu menaburkannya ke atas pokok yang tumbang.

"Jangan risau, kawan. Aku janji, lepas ni takkan ada lagi dah pembalakan di hutan kita. Aku akan tuntut bela!" jerit Awang dengan perasaannya yang sangat geram. Awang kemudiannya memandang ke arah bunyi gergaji, senyumannya semakin gila.

"Pak Mat, aku pergi jumpa Zuhri dulu. Nak tanya dia... kalau dia mati nanti, nak tanam jadi pokok ke? Biar orang tebang balik. Baru adil." ujar Awang sambil terus meluru ke dalam hutan. "Hoi Awang! Tunggu.. Apa yang aku nak bagitahu kat mak kau nanti ni!" kata Pak Mat sambil memandang Awang yang semakin jauh menghilang ke dalam hutan.

---

Malam itu, Awang muncul di tapak pembalakan. Dengan mengenakan pakaian yang diperbuat daripada akar dan daun, tubuhnya bersinar samar di bawah cahaya bulan. Belanga, anak kijang yang telah menjadi sahabatnya, berdiri teguh di sisinya.

"Berhenti merosakkan hutan ini!" suara Awang bergema.

Zuhri yang sedang berbual dengan anak buahnya menoleh. "Siapa kau?! Apa hak kau datang ke sini?"

"Akulah yang digelar Jate Kijang, penjaga hutan ini! Pergi sebelum kau menerima akibatnya!"

Zuhri hanya tersenyum sinis dan memberi isyarat kepada Usin. Dengan satu laungan mantera, Usin membuka sangkar besi. Dari dalamnya, Harimau Balai keluar mengaum, matanya merah menyala.

"Serang!" jerit Usin.

Harimau Balai melompat ke arah Awang. Namun, dengan kelincahan kuasa kijang, Awang mengelak dan menendang haiwan itu ke tanah.

"Weh, rilek dulu! Apa kata kita bincang elok-elok? Buat mesyuarat meja bulat. Eh, ke meja petak? Asal jangan meja batu nisan aku, dah la!" kata Awang, masih sempat berlawak sambil mengelak serangan Harimau Balai.

Belanga turut menyerang, menanduk Usin hingga dia terpelanting ke tanah.

Zuhri tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Dia menghunus parang dan menyerang Awang. Mereka bertarung sengit, Zuhri melibas-libas Awang dengan parang khas yang dijampi Usin, tetapi Awang mengelak setiap serangan dengan lompatan kijangnya.

Namun, Usin sempat menggunakan sihirnya untuk melemahkan tubuh Awang. Perlahan-lahan, kekuatan Awang merosot.

"Adoi, macam kena gastrik tiba-tiba! Weh, boleh tak aku MC esok?" Awang sempat menyindir sebelum tubuhnya rebah.

"Sekarang kau akan mati!" Zuhri menikam tepat ke dada Awang. Awang tersentak, dan darahnya mula membasahi tubuhnya.

Belanga mengeluarkan raungan pilu, melihat sahabatnya tumbang. Malam itu, Awang telah gugur dalam membela nasib hutan milik suku kaumnya.

---

Bak kata pepatah "Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah juga", itulah perumpaan yang sesuai untuk nasib Zuhri dan para pekerjanya. Pihak polis yang telah lama mengintip aktiviti Zuhri akhirnya berjaya menangkapnya.

"Kau akan membayar untuk semua kejahatanmu, Zuhri!" kata Inspektor Rahman sambil menggari tangan Zuhri.

Usin pula berjaya melarikan diri ke dalam hutan. Dalam usahanya mendapatkan lebih banyak kuasa, dia telah menyeru roh Kijang Hitam, makhluk jin dari dunia ghaib. Mata hitamnya bercahaya, bibirnya melantunkan jampi serapah.

Tetapi Usin lupa satu perkara – jin bukan untuk dikawal, tetapi untuk dipatuhi. Dalam sekelip mata, tubuhnya mula mengecut, dimamah oleh kuasa yang cuba dikuasainya sendiri. Dengan satu jeritan ngeri, Usin lenyap ke dalam kegelapan.

Hutan Gua Musang kembali tenang. Namun, legenda 'Jate Kijang' terus hidup dalam cerita-cerita penduduk setempat. "Seorang lelaki lumpuh, menjadi pembela hutan, dan akhirnya mati sebagai wira demi mempertahankan hutan." cerita itu terus disampaikan dari satu generasi ke generasi berikutnya.

Namun, sebelum kisah ini tamat, seorang kanak-kanak melihat seekor kijang putih muncul di pinggir kampung, matanya bersinar redup.

Mungkin, legenda Jate Kijang... baru sahaja bermula?

0 Comments