LUKISAN RINDU SUZIRAH BY KIRIN NOR ZAIDI

Suzirah adalah seorang gadis yang sangat periang. Wajahnya selalu ceria, seolah-olah dunia adalah tempat yang penuh dengan warna-warni kebahagiaan. Impiannya sangat sederhana namun penuh makna; menjadi seorang pelukis terkenal. Dia sering menghabiskan masa lapangnya di tepi sungai untuk melukis pemandangan alam dengan pensil dan kertas yang selalu dibawanya.

“Suzirah, cepatlah pulang! Hujan nak turun!” teriak ibunya dari jauh.
“Sebentar lagi, Mak! Saya nak siapkan lukisan ni dulu!” balas Suzirah sambil tersenyum, tangannya terus melakarkan sesuatu dengan pensil kontot miliknya di atas kertas.

Namun, di sebalik keriangannya, Suzirah memiliki satu sisi yang tidak banyak diketahui orang. Dia tidak selesa berada di sekitar golongan kurang upaya. Suatu hari, ketika dia dan teman-temannya melewati seorang lelaki tua yang menggunakan tongkat untuk berjalan, Suzirah menarik tangan kawannya dan berbisik, “Jom kita cepat jalan. Saya takut la.”

“Kenapa kau takut? Dia cuma orang tua yang susah berjalan,” kata kawannya, Anis.
“Saya tak tahu. Saya rasa tidak selesa,” jawab Suzirah, matanya menjauhi lelaki itu.

--

Hidup Suzirah yang ceria dan periang telah berubah dan satu pengalaman pahit telah hadir dalam hidupnya pada suatu petang. Suzirah, yang baru berusia 18 tahun, terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengubah hidupnya selamanya. Dia terjatuh dari motosikal yang ditungganginya, dan ketika dia tersedar di hospital, doktor memberitahunya bahawa dia tidak akan dapat berjalan lagi kerana kakinya sudah lumpuh.

“Kenapa ini terjadi pada saya?” Suzirah menangis, memegang erat tangan ibunya.
“Sabarlah, Nak. Semua ini terjadi kerana takdir dari Allah” bisik ibunya, walaupun air matanya sendiri tidak tertahan.

Dunianya yang penuh warna keceriaan tiba-tiba bertukar menjadi kelam. Dia memencilkan diri dari semua orang, bahkan dari keluarganya sendiri. Dia merasakan bahawa hidupnya telah berakhir, dan impiannya untuk menjadi pelukis hanyalah mimpi yang mustahil untuk dicapai.

Hingga suatu hari, Suzirah terdengar alunan muzik yang sangat indah dari luar rumahnya. Dia bergerak menggunakan kerusi rodanya di tepi tingkap dan melihat seorang pemusik jalanan sedang bermain gitar di tepi jalan. Yang mengejutkan, pemusik itu juga menggunakan kerusi roda. 

Lelaki tersebut terpandang Suzirah dan mengangkat tangan kepada Suzirah tetapi Suzirah hanya berdiam diri. Selepas hampir 30 minit lelaki tersebut bermain gitar, Suzirah menguatkan dirinya untuk mendekati lelaki tersebut.

Lelaki itu tersenyum melihat Suzirah dan mempelawa Suzirah untuk duduk di tepinya. Namun Suzirah hanya mengelengkan kepala.

"Nama aku Hakim, kau?" tanya lelaki tersebut.

"Suzirah" jawab Suzirah dengan perlahan.

“Mengapa kau masih boleh tersenyum?” tanya Suzirah dengan suaranya penuh kepahitan.
“Kerana aku percaya, setiap ujian ada hikmahnya,” jawab Hakim dengan lembut.

“Lihatlah, aku tidak boleh berjalan, tetapi aku masih boleh bermain gitar. Muzik adalah satu-satunya cara aku bercakap dengan dunia.”

Hakim sering datang ke kawasan itu, dan lama-kelamaan, mereka mula bersembang bersama. Hakim bercerita tentang hidupnya, bagaimana dia belajar menerima keadaannya dan menemukan kebahagiaan dalam muzik.

"Keredhaan itu adalah seperti lukisan," kata Hakim.

"Kita tidak selalu dapat memilih warna yang kita mahukan, tetapi kita boleh mencipta sesuatu yang indah dari apa yang kita ada."

Kata-kata Hakim menyentuh hati Suzirah. Dia mula melihat hidupnya dari sudut pandang yang berbeza. Walaupun kakinya tidak dapat berfungsi seperti dulu, tangannya masih mampu menggenggam pensil dan berus. Dia mula kembali melukis dan meluahkan segala-galanya tentang perasaannya ke dalam lukisan-lukisannya.

--

Tanpa disedari, Suzirah mulai terpikat pada kebaikan Hakim. Dia kagum dengan ketabahan dan keikhlasan Hakim. Setiap kali Hakim bermain gitar, Suzirah berasa sangat tenang dengan alunan muzik daripada gitar tersebut. Dia sering memandang Hakim dari jauh, tersenyum kecil, tetapi tidak pernah berani mengungkapkan perasaannya.

“Kenapa kau selalu memandang aku seperti itu?” tanya Hakim dengan matanya berkelip-kelip penuh dengan keceriaan.

“Tiada apa-apa,” jawab Suzirah dengan pipinya sedikit merah. 

“Aku cuma suka mendengar kau bermain gitar.”

“Kalau begitu, hari-hari aku akan mainkan lagu dekat kau.” jawab Hakim sambil tersenyum.

Suzirah tersenyum, tetapi hatinya berdebar-debar. Dia ingin memberitahu Hakim tentang perasaannya, tetapi dia takut. Takut jika Hakim tidak merasakan hal yang sama. Takut jika persahabatan mereka akan berubah. Jadi, dia memendam perasaannya, menyimpannya rapat-rapat di dalam hati.

--

Bermula daripada saat itu, Suzirah memberanikan diri untuk mempamerkan lukisan-lukisannya di pameran-pameran kecil. Namun, perjalanan untuk Suzirah menjadi seorang pelukis tidak mudah. Ramai orang yang meragui kemampuannya.

“Pelukis yang lumpuh? Apa yang boleh dia lukis?” bisik mereka.

Suzirah sering menangis kerana kata-kata itu, tetapi dia selalu teringat nasihat Hakim “Jangan biarkan orang lain menentukan nilai dirimu.”

Suatu hari, ketika Suzirah sedang mempamerkan lukisannya di sebuah pameran kecil, seorang wanita tua menghampirinya. Wanita itu memakai baju yang sederhana tetapi elegan, dan matanya penuh dengan kekaguman.

“Lukisan ini sangat indah,” kata wanita itu. “Siapa yang melukisnya?”

“Saya,” jawab Suzirah dengan suara perlahan.

Wanita itu tersenyum. “Nama saya Ainun. Panggil saja Bonda Ainun. Saya seorang pengumpul lukisan. Bolehkah saya membeli lukisan ini?”

Bonda Ainun telah menjadi pembimbing dan penyokong utama dalam perjalanan seninya. Dia membeli beberapa lukisan Suzirah dan memperkenalkannya kepada dunia seni. Dengan bantuan Bonda Ainun, Suzirah akhirnya berjaya menarik perhatian ramai pelanggan. Lukisannya telah  dipamerkan di galeri-galeri ternama, dan namanya mula dikenali.

--

Namun, di sebalik kejayaannya, Suzirah tetap merindukan sesuatu. Suatu malam, dia duduk di tepi sungai, tempat dia sering melukis semasa kecil. Hakim, yang kini menjadi sahabat karibnya, datang menghampiri.

“Kenapa kau kelihatan sedih?” tanya Hakim.

“Aku rindu waktu aku hidup normal,” jawab Suzirah.

"Waktu ketika aku masih boleh berlari dan bebas seperti burung yang terbang di udara.”

Hakim mengangguk. “Aku faham. Tapi lihatlah, Suzirah. Kau telah menciptakan  keindahan dari kekuranganmu. Itu adalah sesuatu yang sangat berharga.”

Suzirah tersenyum, tetapi air matanya tetap mengalir. “Terkadang, aku masih rasa tidak cukup kuat.”

“Kau sudah cukup kuat,” kata Hakim dengan tegas.

“Kau telah membuktikannya.”

Beberapa bulan kemudian, Suzirah mengadakan pameran solo pertamanya. Lukisan utamanya berjudul “Keredhaan”, lukisan tentang seorang wanita di kerusi roda yang sedang memandang ke arah matahari terbenam, dengan senyuman ikhlas di bibirnya.

Bonda Ainun juga turut hadir di pameran tersebut dan bangga dengan pencapaian Suzirah.

Namun, pada malam pameran itu, Suzirah menerima berita yang menghancurkan hatinya. Hakim, sahabatnya yang selama ini menjadi sumber kekuatannya, telah meninggal dunia akibat sakit saraf yang dihidapinya sejak kecil. Penyakit itu semakin parah dalam beberapa bulan terakhir, tetapi Hakim selalu menyembunyikan kesakitannya agar tidak membebani Suzirah.

Suzirah terpaku, tidak mampu berkata apa-apa mendengar berita tersebut. Dia memegang erat gitar Hakim yang ditinggalkan untuknya, air matanya mengalir tanpa henti. Dia juga berusaha untuk menguatkan diri menghabiskan pameran tersebut.

Di akhir pameran tersebut, dia memberikan ucapan kepada tetamu yang hadir sambil memeluk gitar Hakim. “Beradanya saya pada malam ini adalah disebabkan empunya gitar ini. Dia adalah sahabat saya, dia adalah sumber kekuatan saya. Disebabkan dia juga, saya memahami apa itu redha. Terima kasih!”

Tetamu-tetamu yang mendengar ucapan tersebut semuanya menepuk tangan dan bersorak.

--

Beberapa minggu selepas kematian Hakim, Suzirah melawat pusaranya. Dia merapatkan kerusi rodanya di pusara milik Hakim. Dia kemudiannya turun daripada kerusi roda dan duduk di sebelah batu nisan tersebut dan membaca Surah Yasin. Selepas membaca Surah Yasin, Suzirah berkata:

“Hakim, aku ada di sini,” bisiknya, air matanya mengalir tanpa henti.

“Ni aku nak cakap sesuatu yang aku tidak pernah berani katakan sebelum ini. Aku suka dengan kau lebih daripada seorang kawan, Hakim. Selama ini, aku menyimpan perasaan ini dalam hati aku. Aku takut nak luahkannya, tetapi sekarang aku tidak mampu untuk memendamnya lagi. Tapi sayang kan? Mesti kau dah bahagia disana dengan bidadari-bidadari yang cantik kan? Aku cemburu...” sambil air matanya menitis membasahi pipinya.

Dia menarik nafas panjang, cuba untuk menenangkan dirinya. “Terima kasih kerana menjadi sahabat aku. Terima kasih juga kerana mengajar aku tentang erti keredhaan. Aku akan terus melukis, untukmu, dan untuk diri aku juga! Aku janji, aku tidak akan membiarkan semangat kau sia-sia.”

Suzirah meletakkan sekuntum bunga di atas pusara Hakim, lalu menaiki kerusi rodanya dengan perlahan-lahan. Dia memandang ke arah langit, membayangkan saat-saat bersama Hakim. Tidak lama kemudian, Suzirah perlahan-lahan beredar daripada pusara itu menggunakan kerusi rodanya.

Beberapa bulan selepas itu, Suzirah telah melukis sebuah gambar baru iaitu seorang pemusik di kerusi roda, dengan gitar di tangannya, dikelilingi oleh cahaya keemasan. Lukisan tersebut diberi nama “Lukisan Rindu” dan telah diperkenalkan di pameran keduanya.